Habib Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin Hasyim As-Saqqaf
Memuliakan para tetamunya
Habib
Ja’far bin Syaikhan bin 'Ali bin Hasyim bin Syeikh bin Muhammad bin
Hasyim As-Saqqaf dilahirkan di kota Ghurfah, Hadramaut pada tahun 1298
H. Bondanya ialah seorang wanita solehah, Ruqayyah binti Muhammad
Manqusy. Sebagaimana kebanyakan para Salaf Bani Alawi, semenjak kecil
beliau mendapat pendidikan langsung dari ayahandanya. Selain beliau
menuntut ilmu kepada ayahnya, beliau juga mengambil ilmu dari
ulama-ulama besar zamannya, diantaranya: Habib 'Aidrus bin 'Umar
al-Habsyi (pengarang ‘Iqdul Yawaaqit), Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi
(shohibul Simthud Durar), Habib Ahmad bin Hasan al-Aththas, Habib
Husain bin Muhammad al-Habsyi (Mufti Syafi`i Haramain) dan Habib
Muhammad bin Salim as-Sary dan Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor.
Dalam usia 40 tahun iaitu tahun 1338H, beliau berhijrah ke Indonesia.
Mulanya beliau menetap di Surabaya sebelum berpindah ke kota santri
Pasuruan. Habib Ja'far menghabiskan usianya untuk ibadah dan dakwah
dengan bijaksana dan akhlak yang mulia. Beliau terkenal sebagai hafiz
dan mufassir al-Quran yang hebat sehingga guru beliau, Habib Muhammad
bin Ahmad al-Muhdhor memberikan gelar "al-Quran berjalan" bagi beliau,
di mana sering tatkala bertemu dengan Habib Ja'far, gurunya tersebut
akan berkata: "Ahlan bil Quran wa ahlan bi ahlil Quran". Bahkan gurunya
tersebut sering menyerahkan tugas menjadi imam kepada beliau kerana
dalam bacaannya amat elok menurut hukum tajwid serta penuh kekhusyukan.
Kekhusyukan dan kehadiran hati beliau ini meliputi para makmum sehingga
mereka turut merasa kenikmatan khusyuk dan hudhur. Habib 'Alwi bin
'Ali al-Habsyi pernah berkata: "Ketika mendengar bacaan Habib Ja'far,
aku mengikuti pendapat yang mengatakan bahawa membaca al-Fatihah di
belakang imam dalam shalat jahriyyah tidak wajib kerana hudhur yang
kurasakan dari bacaannya." Sehingga dikatakan juga oleh yang lain
bahawa: "Kalau Habib Ja'far membaca al-Quran, maka setiap huruf yang
beliau ucapkan itu seakan-akan berbentuk."
Selain
dakwah keliling, beliau membuka majlis ta'lim dan majlis rohah di
Pasuruan dengan dihadiri oleh ramai santri yang terdiri dari kalangan
para ulama. Antara ulama yang melazimi majlisnya ialah Kiyai Haji Abdul
Hamid bin 'Abdullah bin 'Umar BaSyaiban dan Kiyai Mas Imam bin Thohir.
Habib Ja'far sangat teguh menjaga ajaran leluhurnya para salafush
sholeh Bani 'Alawi yang mulia. Beliau beramal sesuai amal mereka dan
berakhlak persis akhlak mereka. Beliau juga setekun para leluhurnya
dalam melaksanakan amal-ibadah, selalu bertaqarrub kepada Allah dengan
melakukan berbagai kesholehan. Antara wiridannya setiap hari ialah
mengkhatamkan kitab suci al-Quran dan memperbanyakkan sholawat atas
Junjungan s.a.w. Malamnya indah dihiasi qiyamul lail dan menyendiri di
tempat khusus untuk bermunajat dan bertaqarrub.
Memuliakan Para Tetamunya
Beliau juga terkenal amat memuliakan para tetamunya, sehingga urusan
melayani para tetamunya dijalankan sendiri oleh beliau. Beliau
sendirilah yang menuangkan minuman buat si tamu dan beliau menolak jika
ada orang lain yang hendak menggantikannya. Pernah satu ketika salah
seorang tetamunya menyarankan agar beliau membiarkan orang lain untuk
menuangkan minuman kepada para tetamunya dengan katanya: "Jangan engkau
sendiri yang melakukannya." Beliau spontan menjawab: "Apakah di hari
kiamat kelak, ketika Rasulullah s.a.w. memberi manusia minum dari
telaga Kautsar dengan tangan baginda sendiri, kau akan berkata kepada
beliau:"Jangan engkau sendiri yang melakukannya." .... Allahu ...
Allah, mudah-mudahan kita dapat meneguk minuman telaga Kautsar dari
tangan baginda yang mulia. Sungguh memuliakan tetamu itu sebahagian
daripada keimanan, dan berhati-hatilah kita tatkala melayani para
tetamu kita, jangan sampai kita menjadikan tetamu kita tersebut sebagai
pelayan kita. Ingat sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan
oleh Imam ad-Dailami:
"Bodohlah orang yang menjadikan tetamunya sebagai khadam (yakni tetamu
pula yang jadi sibuk melayan tuan rumah dan bukan sebaliknya)".
Kehidupan
berputar terus dan Habib Ja'far selalu mengisinya dengan kebaikan dan
kebajikan. Sampai pada suatu saat dimana Allah hendak memanggilnya,
maka berpulanglah beliau menuju mardhotillah pada hari Isnin, tanggal
14 Jumadil Akhir 1374 H dalam usia 76 tahun. Berita kewafatannya
tersebar ke seluruh pelusuk dan penziarah tidak putus-putus berdatangan
sehingga pemakaman beliau terpaksa diakhirkan sehingga ke petang
Selasa. Jasad beliau lalu disemayamkan di tepi Masjid Jami` al-Anwar,
Pasuruan, berdampingan dengan maqam Habib Hadi bin Shodiq Bin Syaikh
Abu Bakar. Mudah-mudahan Allah meredhai beliau dan mengumpulkan beliau
bersama para leluhurnya yang sholeh.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar